Jumat, 07 Agustus 2009

Wanita Terhebat Dunia

Apakah parameter yang menentukan kehebatan seseorang wanita? Adakah ia ditentukan daripada kedudukan kewangan mereka ataupun faktor-faktor lain?
Bagi majalah perniagaan terkenal, Forbes, mereka mempunyai cara perkiraan tersendiri dalam mencari senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia.
Bagi majalah ini kriteria yang menilai 'kuasa' seseorang wanita itu adalah kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada profil awam.
Populariti yang dikaut hasil daripada hebahan di media termasuklah kedudukan kewangan serta pencapaian mereka dalam sesebuah negara juga menjadi penyumbang untuk dimasukan dalam senarai tersebut.
Selain itu, jawatan yang dipegang kini juga faktor menjadi penentu sejauh mana mereka layak digelar wanita terhebat di dunia.
Pemilihan yang dibuat tahun ini tidak begitu mengambil kira kedudukan kewangan wanita sebaliknya mereka yang berjaya dalam bidang kerjaya seperti ketua eksekutif, pemimpin masyarakat, pegawai terpilih dan pegawai atasan yang membuktikan mereka mempunyai pengaruh terhadap pengikut bawahan mereka.
Setakat ini mengikut senarai Forbes, takhta wanita paling berpengaruh di dunia masih diduduki oleh Canselor Jerman, Angela Merkel.
Merkel merupakan wanita yang menduduki kedudukan teratas tersebut selama tiga tahun berturut-turut selepas beliau menang pada pilihan raya demokrasi di negara itu.
Berbeza bagi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Senator Hillary Clinton walaupun menduduki tempat ke 28 wanita paling berkuasa, tetapi beliau merupakan wanita paling tinggi mendapat tumpuan awam ekoran kejayaan menduduki kabinet Presiden Barack Obama dan sebelum ini bertanding untuk mendapatkan kerusi presiden.
Dalam pada itu tempat kedua bagi wanita paling berkuasa diduduki oleh Sheila C. Bair yang merupakan ketua Federal Deposit Insurance Corp., di Amerika Syarikat.
Indra Krishnamurthy Nooyi dari PepsiCo pula mengisi tempat ketiga apabila beliau menjadi wanita yang bertanggung jawab memperluaskan perniagaan makanan dan minuman di peringkat antarabangsa.
Ini diikuti pemilik syarikat kesihatan terbesar, Wellpoint, Angela Braly pada tempat keempat. Brady bagaimanapun berhadapan dengan sedikit konflik apabila penilaian beliau tentang kedudukan kewangan syarikatnya telah mengakibatkan stok tidak stabil dan membangkitkan kemarahan pekerja.
Tempat kelima diduduki oleh Cynthia Carroll empunya empayar perlombongan terbesar Angglo-American. Diikuti Irene Rosenfeld pemilik Kraft Foods di tempat keenam. Beliau juga adalah individu yang bertanggung jawab menjadikan biskut Oreo terkenal di China.
Dalam beberapa bulan terakhir perkhidmatannya, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice masih tersenarai di tempat ketujuh biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik.
Di tempat kelapan pula diduduki oleh isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching. Beliau diiktiraf kerana menjadikan Temasek Holdings unggul bukan sahaja di Singapura malah di Asia. Ho Ching kini juga memiliki saham sebanyak 15 peratus di Merrill Lynch
Sumber : Utusan Malaysia On Line22/07/2009
------------------------------------------- -------------------------------------
ULASAN:
Wanita terhebat di dunia…sekilas pandang tiada apa yang bahaya. Namun jika betul-betul difikirkan, inilah pemikiran kapitalis yang sejak sekian lama mencuba bagi menentukan parameter ataupun ukuran sejauh mana hebatnya seseorang wanita itu. Ukuran yang lahir dari asas yang meletakkan tembok pemisah antara agama dan kehidupan seharian ini malangnya telah mula meresapi sebahagian besar umat Islam umumnya dan muslimah khususnya. Kedudukan kewangan, status jawatan dan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat antara gambaran pemikiran kapitalis sebagai ukuran hebat atau tidaknya seseorang wanita.
Sebagai Muslimah kita tidak perlu merasa lemah dan tersisih sekiranya tidak menepati parameter di atas dan dinobatkan sebagai ‘wanita terhebat di dunia’. Islam dari awal kedatangannya lagi telah memberikan ukuran sebenar yang mesti diusahakan oleh umat Islam agar mendapat tempat yang mulia disisi Allah, sepertimana yang termaktub dalam firmanNya : “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [TMQ Al Hujurat (49):13]
Sememangnya, apa yang dikemukakan oleh Majalah Forbes ini adalah baja penyubur kepada benih-benih beracun yang semai oleh pemikiran kapitalis. Tujuannya tidak lain agar Muslimah meninggalkan ukuran yang dibawa Islam iaitu menjadikan syariat dan hukum-hukum Islam sebagai pembimbing utama dalam kehidupan.
Sesungguhnya, hanya syariat Islamlah satu-satunya jalan yang mampu menghantarkan muslimah kepada darjat kemuliaan. Amat Jelas terbukti dalam sejarah bagaimana nama-nama hebat pejuang Muslimah telah terpateri hasil dari ketaatan mereka melaksanakan kewajipan Allah dan kegigihan berdakwah bagi memastikan sinar islam terus terpancar. Khadijah Ibn Kuwailid, Aisyah ibn Abu Bakar, Fatimah ibn Muhammad, Kabsyah bintu Rafi’, Ummu Sulaim ibn Milhan, Zainab Al-Jahsy adalah antara muslimah hebat yang selayaknya menjadi ikutan dan panduan bagi kita di dunia.
Muslimah yang dikasihi, berhati-hatilah menerima segala idea dan parameter yang diagung-agungkan oleh Kapitalis dengan menyaringnya terlebih dahulu dengan aqidah dan tsaqafah Islam. Oleh itu Muslimah harus sesegera mungkin meningkatkan penguasaan tsaqafah Islam sebagai jalan untuk meningkatkan kualiti berfikirnya serta tidak terikut-ikut dengan idea-idea dan pemikiran kufur golongan Sekular Barat ini. Firman Allah : “Dan kami turunkan Al-Quran agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, dan agar supaya mereka berfikir” [TMQ An-Nahl (16) : 44].
Dengan erti kata lain kita diwajibkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk hanya mengambil pandangan hidup yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan mengharamkan selainnya. Firman Allah “Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu maka ambillah, dan apa-apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras siksaanNya” [TMQ Al Hasyr (59 ) : 7]
Wallahula’lam bishawab

Tidak ada komentar:

Posting Komentar